PUTRAJAYA – Seramai 1,250 anggota dan pegawai baharu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan ditauliahkan sehingga hujung tahun ini bagi mengisi kekosongan sedia ada di bahagian operasi dan keselamatan kebakaran.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, seramai 1,000 anggota baharu bagi gred KB19 akan ditauliahkan dalam Majlis Perbarisan Pentauliahan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Sabah pada Khamis ini diikuti ABPM Wilayah Sarawak (19 Julai) dan ABPM Wilayah Timur, Terengganu (8 Ogos).
Manakala seramai 250 pegawai baharu melibatkan gred KB29 dan KB41 akan ditauliahkan di ABPM Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu pada November depan.
“Jadi dengan tamatnya kursus Sains Kebombaan Siri 1/2022, kita akan laksanakan majlis pentauliahan dan mereka ini akan ditempatkan di seluruh negara bagi menampung kekosongan yang ada di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Ia juga akan menampung kekurangan selama ini memandangkan pada tahun 2020 dan 2021 ramai yang bersara namun tiada pengambilan baharu berikutan pandemik Covid-19, justeru kali ini dengan adanya tamat latihan pentauliahan kekosongan jawatan akan dapat diisi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Ibadah Korban Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama warga JBPM Tahun 2022 di Balai Bomba dan Penyelamat Presint 14 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, kesemua anggota dan pegawai tersebut akan ditempatkan di balai-balai baharu selain mengisi kekosongan bagi menggantikan pegawai-pegawai yang telah bersara.
“Pentauliahan bagi gred KB29 dan KB41 ini merupakan pegawai kanan yang akan melaksanakan tugas-tugas sebagai penyelia, pengurus, ketua balai dan ketua unit.
“Kesemua mereka akan ditempatkan di seluruh negara berdasarkan kekosongan terutamanya melibatkan empat balai baharu yang telah siap dibina manakala lapan lagi balai dijangka akan dibina sehingga hujung tahun ini di Sabah, Sarawak, Perak, Johor dan Selangor,” ujarnya.
Tambahnya, terdapat seramai 15,300 anggota dan pegawai JBPM di seluruh negara yang ditugaskan di 332 Balai Bomba dan Penyelamat.
“Kita ada lagi 1,600 kekosongan di jabatan ini membabitkan pelbagai gred yang dijangka akan diisi pada tahun hadapan selepas menerima kelulusan dari Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya.- KOSMO! ONLINE