IPOH – Wanita yang didakwa menghina Islam di sebuah kelab komedi di Kuala Lumpur dinasihatkan supaya bertaubat dan tidak terus menyakiti perasaan umat Islam di negara ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perbuatan wanita itu sebagaimana tular menunjukkan dia tidak mempunyai perasaan malu.
“Buka baju memang tak baik, inikan pula mengaku Muslim dan buka baju di depan orang ramai. Ini bukan sifat seorang manusia. Manusia mesti ada rasa malu, kalau tak malu, kita letakkan diri setaraf dengan makhluk-makhluk yang Allah ciptakan tidak mempunyai akal.
“Ini perkara yang perlu kita jauhi dan saya harap anak kita yang telah lakukan perkara itu bertaubat. Jangan hina agama sendiri, jangan jolok perasaan dan hati rakan-rakan yang beragama Islam dan kembalilah ke pangkal jalan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan seorang wanita sehingga mengundang kemarahan umat Islam di negara ini dengan rata-rata mereka beranggapan dia telah bertindak keterlaluan ketika mengadakan persembahan komedi.
Ahmad Faizal turut menasihati belia agar tidak merusuh atau marah semberono, sebaliknya merenung diri sendiri.
“Diri kita pun banyak yang perlu diperbaiki dalam masa sama mengutuk perbuatan menghina agama dan seperti terlalu bangga menayangkan tubuh sendiri.
“Jadi sifat negatif itu kita jauhkan. Cari sifat-sifat yang baik dan cuba praktikkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE