PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuh Raya Utara-Selatan dilaporkan sesak dan perlahan berikutan peningkatan kenderaan menuju ke ibu negara sejak lewat pagi tadi.
Menerusi laporan di Facebook Lebuh Raya Pantai Timur, setakat pukul 4 petang, keadaan sesak dilaporkan meningkat sepanjang 25.5 kilometer (km) menghala ke Gombak.
Pecahan trafik itu menyaksikan beberapa laluan mengalami kesesakan sepanjang 16.2 km dari KM76.6 hingga KM60.4 (Karak-Bentong), 3.8 km dari KM58.9 hingga KM55.1 (Bentong-Lentang).
Selain itu, keadaan sama turut dilaporkan berlaku sepanjang 2.2 km dari KM27.5 hingga KM25.3 (Gombak) dan 3.3 km dari KM23.1 menuju ke Plaza Tol Gombak.
Bagi di sebelah utara, aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan juga dilaporkan sesak sepanjang 11 km berikutan kemalangan.
Kemalangan tersebut telah menyebabkan aliran trafik sesak dan perlahan dari KM150.4 arah selatan dari Bukit Gambir ke Pagoh.
seterusnya, trafik juga perlahan dari Lembah Beringin ke Sungai Buaya, Kuala Kangsar ke Sungai Perak dan kawasan rehat dan rawat (R&R) Tapah ke Tapah.
Bagi di sebelah selatan, trafik dilihat perlahan dari Simpang Ampat ke Port Dickson (U) dan Senawang ke Port Dickson (U).
Terdahulu, Kosmo! melaporkan aliran trafik di beberapa lebuh raya utama mengalami pertambahan kenderaan menuju ke ibu negara berikutan orang ramai pulang selepas tamat cuti Hari Raya Aidiladha. – KOSMO! ONLINE