fbpx

Singa kelaparan makan ekor sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seekor singa ditemui dalam keadaan tidak mempunyai ekor. – Newsflash

BANDAR RAYA MEXICO – Pihak berkuasa Mexico menjalankan siasatan ke atas sebuah pusat perlindungan haiwan yang didakwa menganiaya binatang-binatang sehingga ada yang terpaksa memakan ekor sendiri, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Beberapa rakaman video di Yayasan Black Jaguar-White Tiger, Bandar Raya Mexico mengejutkan ramai kerana memaparkan keadaan haiwan-haiwan di situ yang dibiarkan tanpa makanan sehingga berada dalam keadaan kekurangan nutrisi.

Ada antara haiwan tersebut yang memakan anggota badan sendiri termasuk seekor singa yang memakan ekornya disebabkan mengalami kelaparan melampau.

Sebilangan daripada haiwan-haiwan itu berada dalam keadaan yang amat lemah sehingga tidak mampu berdiri selain ada yang badannya dipenuhi dengan kudis.

Pemilik pusat tersebut yang dikenali sebagai Eduardo Mauricio Moises dilaporkan menghilangkan diri selepas berita mengenai pusat perlindungan itu tersebar meluas.

Beberapa kumpulan hak asasi haiwan bertindak melaporkan mengenai yayasan itu, yang sebelum ini didakwa menyelamatkan haiwan-haiwan daripada kesengsaraan di pusat pembiakan dan sarkas.

Seorang aktivis haiwan, Arturo Islas Allende berkata, tempat itu kini di bawah pemantauan pihak berkuasa dengan pemiliknya menjadi pelarian yang dikehendaki polis.

“Yayasan itu tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit sah,” katanya.

Siasatan pihak berkuasa menemui tulang-temulang yang dipercayai milik bangkai lebih 200 ekor harimau dan singa.

“Yayasan itu berkata bahawa mereka mempunyai 400 ekor haiwan. Namun berdasarkan kiraan pihak berkuasa, hanya 180  hingga 190 ekor sahaja yang ditemui. Ini bermaksud, hanya kurang separuh daripada haiwan-haiwan itu masih hidup,” kata Allende. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI