PETALING JAYA – Pelawak Shahrol Shiro tidak sependapat dengan kenyataan oleh Datuk Afdlin Shauki yang membantah sekeras-kerasnya penutupan sementara sebuah kelab komedi, CrackHouse Comedy House ekoran kontroversi ‘lawak menghina agama’ yang dicetuskan oleh seorang wanita baru-baru ini.
Shahrol atau nama lengkapnya Shahrol Azizie Azmi berpendapat, tindakan menutup sementara kelab yang terletak di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur itu adalah wajar untuk tujuan siasatan lebih lanjut.
“Assalamualaikum abang @afdlinshaukiofficial. Penutupan sementara CrackHouse Comedy Club ada betulnya juga bagi membantu siasatan isu yang sedang hangat hari ini. Ada dua persoalan yang bermain di fikiran saya,” tulis Shahrol.
Katanya, terdapat beberapa persoalan bermain dalam fikirannya terutama kepada pihak penganjur apabila dilihat seolah-olah tidak mengambil tindakan drastik selepas insiden penghinaan agama itu dibuat.
“Pertama, sebagai penganjur dan pemilik premis, kita punya hak untuk menghalang sesebuah persembahan jika melanggar batas-batas terutama isu sensitif yang melibatkan kesucian agama Islam.
“Adakah mereka (penganjur) tidak memberitahu kepada yang akan membuat persembahan terlebih dahulu? Jika pelawak melanggar batas tersebut, kenapa penganjur tidak terus naik ke atas pentas dan membatalkan persembahan serta merta.
“Kita melihat seolah-olah penganjur meraikan konten komedi tersebut,” ujarnya.
Shahrol turut tertanya-tanya jika pihak penganjur sebelum ini pernah melepaskan konten-konten serupa yang mungkin lebih bersifat sensitif memandangkan terdapat beberapa video lain yang tular dan akan mengundang kemarahan masyarakat.
Sehubungan itu, pelawak yang turut bergiat aktif dalam bidang politik itu berpendapat, adalah wajar jika kelab tersebut ditutup buat sementara waktu atas tujuan siasatan.
“Analogi kolam renang agak kurang tepat digunakan untuk kes ini. Ada masa kita bangkang dan ada masa kita bertenang buat sementara waktu.
“Bersama kita lahirkan pelawak di Malaysia yang mempunyai pemikiran cerdas tanpa melanggar batas,” katanya.
Terdahulu Afdlin dalam satu kenyataannya membantah penutupan sementara kelab komedi yang telah lapan tahun beroperasi itu apabila mendakwa kelab terbabit tidak bersalah dalam hal yang berlaku.
Malah Afdlin turut mendakwa bahawa kelab tersebut menjadi pentas untuk pelawak amatur, ‘standup comedy’ cuba mempersembahkan bakat mereka di depan khalayak.
Bagaimanapun pendapat pelawak, pelakon dan pengacara berusia 51 tahun itu yang dilihat seolah-olah cuba ‘menegakkan benang yang basah’ telah dikritik hebat netizen lebih-lebih lagi isu tersebut menyentuh perihal sensitiviti agama Islam.
“Aku selama ini sokong kau bro (Afdlin). Tapi bila kau backup (pertahankan) kelab tersebut, minta maaf bro, Islam bukan untuk dipermainkan,” kata seorang netizen.
“Hello Afdlin! Di mana akal fikiran boleh membiarkan perkara sebegitu terjadi tanpa pemilik kelab membantah? Kau bangkang otak kau dulu,” kecam seorang lagi pengguna Instagram.
“Apa punya bodoh. Tak ada sikit pun hati untuk mempertahankan agama Islam. Nak bangkang pun jangan sampai nampak tidak cerdik,” ujar seorang pengikutnya.
Sekadar info, tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu apabila seorang wanita berusia 28 tahun tampil berpakaian sopan dalam satu acara komedi di CrackHouse Comedy Club.
Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta sudah menghafal 15 juzuk al-Quran, sebelum secara tiba-tiba dia menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan aurat.
Difahamkan wanita terbabit sudah pun ditahan polis semalam untuk siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE