PHOENIX, Arizona – Sebuah bekas tapak perlindungan bom di negeri Arizona, Amerika Syarikat (AS) sedang ‘mencari’ pemilik baharu dengan tawaran harga sebanyak AS$399,900 (RM1.7 juta), lapor akhbar Metro UK, kelmarin.
Ia merangkumi kawasan seluas 650 meter persegi bagi hartanah utama, walaupun tapak perlindungan bawah tanah tidak dapat dilihat.
Dibina sebagai tempat perlindungan bom pada tahun 1980, rumah bawah tanah itu kekal sejuk pada musim panas dan memerangkap haba ketika musim sejuk.
Tapak tersebut diubah usai menjadi rumah yang berfungsi sepenuhnya dengan empat bilik tidur, dua bilik mandi dan bilik sauna sendiri.
Selain itu, ciri-ciri istimewa di rumah tersebut termasuk ruang tamu bawah tanah yang sedia menerima tetamu untuk acara keramaian di samping meja makan dengan 12 tempat duduk yang siap dibina.
Rumah itu turut dilengkapi oleh pendingin hawa yang sangat diperlukan semasa musim panas di Arizona.
Terletak di atas tanah seluas 7.1 hektar, terdapat garaj besar dan ruang dek yang menawarkan pemandangan padang pasir serta Pemeliharaan Negara Mojave.
Pemilik baharu tempat itu turut dapat menggunakan bengkel yang dibina daripada kereta api lama serta hangar pesawat yang besar sekiranya memerlukan ruang simpanan tambahan untuk pesawat peribadi. – Agensi