IPOH – Perikatan Nasional (PN) bercadang menggunakan logo baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebagaimana diputuskan oleh Majlis Tertinggi PN dua minggu lalu.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penggunaan logo baharu itu juga mungkin apa yang dimaksudkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi kenyataan dibuatnya baru-baru ini.
“Majlis Tertinggi PN telah mencadangkan agar beberapa perubahan dibuat ke atas logo yang diguna pakai ketika ini iaitu dalam bentuk perkataan.
“Jadi, perkara ini sedang diteliti oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Mungkin ini maksud beliau. Kita akan gunakan logo yang diubah suai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kenduri Rakyat Aidiladha PN Perak di sini hari ini.
Abdul Hadi baru-baru ini memberi bayangan bahawa Pas tidak akan menggunakan logo PN atau parti pimpinannya itu, sebaliknya akan mengguna pakai logo baharu.
Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, selaras perkara tersebut, perlembagaan PN perlu digubal dan seterusnya memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai logo baharu tersebut.
“(Logo) yang ini pun dah baik tapi nak diperbaiki lagi. Mungkin ada sesetengah parti ada simbol-simbol digunakan, jadi pandangan yang diberi kita akan tengok sama ada warna ini terus dikekalkan atau logo sesuai diperkenalkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE