fbpx

Pekebun berputih mata, pokok kelapa diserang beruang matahari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. NASIR menunjukkan salah sebatang pokok kelapa yang hampir mati angkara beruang matahari di Kampung Belukar Bukit, Ajil, Hulu Terengganu semalam.

HULU TERENGGANU – Seorang pekebun rugi apabila 20 batang pokok kelapa diusahakannya mati dipercayai angkara sera­ngan beruang matahari dalam kejadian di Kampung Belukar Bukit, Ajil di sini baru-baru ini.

Mohd. Nasir Mat Ghani, 45, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira tiga minggu lalu selepas dia menyedari pokok kelapa yang ditanam di kawasan 0.4 hektar itu rosak pada bahagian atasnya.

“Saya syak ia perbuatan beruang matahari kerana bahagian dirosakkan ialah umbut kelapa yang merupakan antara makanan kegemaran haiwan liar tersebut.

“Apatah lagi, beberapa penduduk kampung mendakwa pernah terserempak dengan kelibat seekor beruang matahari berkeliaran berhampiran kebun kelapa saya,” katanya ketika ditemui ­Kosmo! di Kampung Belukar Bukit, Ajil di sini semalam.

Menurut Mohd. Nasir, ini kali pertama kebun kelapanya dice­robohi haiwan liar sejak dia mula mengusahakannya kira-kira 10 tahun lalu.

Tambahnya, kesemua 20 po­kok kelapa setinggi antara dua hingga 15 meter terlibat semakin kekeringan dan menunggu masa untuk mati.

“Saya sedih kerana pokok-pokok kelapa tersebut sudah mengeluarkan hasil sama ada kelapa muda mahu pun tua.

“Sekurang-kurangnya saya akan kehilangan pendapatan RM300 sebulan akibat kerosakan pokok kelapa itu,” katanya.

Mohd. Nasir berkata, mungkin nilai tersebut rendah kepada orang lain, namun tidak bagi dia yang bergantung hidup semata-mata kepada hasil pertanian.

Sehubungan itu, dia kini cuba sedaya upaya mengawal kebun kelapanya daripada dice­robohi haiwan liar lagi pada masa ­hadapan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI