KEMAMAN – Peniaga lemang Kijal tersenyum lebar apabila jualan mereka meningkat berkali ganda sempena Aidiladha.
Mereka tidak menang tangan melayan pelanggan yang bukan sahaja datang dari Terengganu, malah negeri-negeri berhampiran.
Peniaga, Khazalina Khalid, 45, berkata, secara purata dia menjual 1,500 batang lemang setiap hari beberapa hari sebelum sambutan hari raya korban.
Dia yang berpengalaman lebih 20 tahun berniaga lemang terpaksa menambah 10 pekerja berbanding tiga orang sebelum ini.
“Saya tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan dan berdasarkan saiz dapur, kami mampu membakar 1,500 batang lemang sehari.
“Saya terpaksa melanjutkan operasi sehingga awal pagi (semalam) berbanding hari biasa setakat pukul 5 petang,” katanya ketika ditemui di Kijal semalam.
Lemang Kijal terkenal kerana keenakan dan harganya murah berbanding kawasan lain.
Khazalina yang menjual lemang pada harga RM5 hingga RM8 mengikut saiz memberitahu, dia membuka gerai seawal pukul 6 pagi bagi memenuhi permintaan pelanggan setia.
Seorang lagi peniaga, Zubaidah Ismail, 52, pula berkata, jualan lemang melonjak kepada 600 batang sehari sempena Aidiladha berbanding 80 batang pada hari-hari biasa.
“Banyak juga tempahan yang terpaksa ditolak kerana kehabisan bahan mentah. Sudah lama kami tidak merasai sambutan hari raya luar biasa seperti tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pembeli, Hanafi Azman, 34, memberitahu, dia sanggup memandu lebih 40 kilometer dari Kuantan semata-mata untuk membeli lemang Kijal.
“Lemang Kijal menjadi juadah kegemaran saya sekeluarga. Berbaloi datang dari jauh bukan sahaja harganya berpatutan, malah rasanya juga sedap,” katanya. -KOSMO! ONLINE