PUTRAJAYA – Lawatan kali kedua Menteri Luar China, Wang Yi ke Malaysia selama dua hari yang bermula hari ini membuktikan hubungan kukuh antara kedua-dua negara berkenaan.
Menurut kenyataan Wisma Putra, beliau yang juga merangkap Penasihat Negara itu akan turut membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
“Kali terakhir pemimpin tersebut mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia ialah dua tahun lalu iaitu 12 sehingga 13 Oktober 2020 setelah pernah datang ke negara ini pada 2018.
“Beliau turut dijadualkan melaksanakan sembah menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur,”’katanya di sini tadi.
Kata kenyataan itu, Wang Yi juga dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Bangunan Perdana Putra di sini.
“Mesyuarat dua hala antara Saifuddin dan Wang Yi esok pula bakal membincangkan pelbagai bidang kerjasama dan isu dua hala antaranya meliputi sektor perdagangan dan pelaburan.
“Begitu juga teknologi tinggi, ekonomi digital, pengajian tinggi, kerjasama vaksin Covid-19 serta pemulihan selepas pandemik selain isu serantau dan sejagat yang berkepentingan bersama,” ujarnya.
Sejak 2009, China ialah rakan dagang terbesar Malaysia dan tahun lalu, ia bernilai RM421 bilion, iaitu 18.9 peratus daripada keseluruhan dengan pertambahan 27 peratus berbanding 2020. – KOSMO! ONLINE