KUALA SELANGOR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedia membantu mewujudkan aktiviti perniagaan yang boleh menjana keuntungan di Stadium Shah Alam.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah itu boleh membantu kerajaan negeri untuk memastikan Stadium Shah Alam dapat terus dikekalkan berbanding dirobohkan.
Katanya, kerajaan negeri sewajarnya meningkatkan pendapatan stadium tersebut bukannya mengeluh tentang kos penyelenggaraan yang tinggi hingga mengambil tindakan drastik seperti meruntuhkan stadium ikonik itu.
“Saya menerusi kementerian sedia bantu mewujudkan kegiatan komersial yang boleh menjana pendapatan stadium sekali gus boleh menampung kos operasi stadium tersebut.
“Jangan diruntuhkan stadium yang ikonik hanya kerana kos penyelenggaraan yang dianggap tinggi,” katanya ketika ditemui pada Program Qurban Perdana Parlimen Tanjong Karang di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor menegaskan sebagai anak negeri ini sudah pastinya stadium tersebut mempunyai nilai sentimental kepada dirinya dan juga rakyat negeri ini.
Justeru, Noh menemplak kerajaan negeri mengambil jalan mudah termasuk sebarang perancangan dalam meruntuhkan stadium itu.
“Semasa awal kewujudan stadium tersebut pada tahun 1993, saya turut terlibat bersama pemimpin sukan negeri seperti Tan Sri Zainal Dahlan dan Datuk Aziz Desa untuk membuat persediaan merealisasikan pembinaan stadium itu.
“Adakah perlu setiap kali kerajaan negeri bertukar, sesuatu peningggalan kerajaan negeri terdahulu ditukar dan diruntuhkan. Sudah dua tiga penggal menjadi kerajaan selenggarakanlah dengan baik stadium besar tersebut,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE