Oleh ROSMIZAN RESDI
KOTA BHARU – Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memantau aspek kesihatan semasa susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 melebihi 3,000 kes sehari sejak beberapa hari lalu.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mendepani sebarang kemungkinan berkaitan kesihatan.
Bagaimanapun, perbincangan dan pemantuan itu tidak hanya tertumpu kepada jangkitan Covid-19, malah turut merangkumi masalah kesihatan lain seperti penyakit berjangkit influenza atau flu.
“Kita melakukan pendekatan sama seperti sebelum ini. Setiap perkara yang dilaksanakan melibatkan konteks kesihatan, KPM akan berbincang dengan KKM terlebih dahulu,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Korban Srikandi Bersatu Kelantan di Ketereh di sini hari ini.
Dalam majlis itu, sebanyak 36 ekor lembu dikorbankan secara bergotong-royong dalam Program Korban Perdana yang turut dianjurkan Perikatan Nasional Ketereh.
Mengulas lanjut, Radzi memberitahu, Program Korban Perdana dilaksanakan hari ini dan esok membabitkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kadok, Melor dan Kok Lanas. – KOSMO! ONLINE