BERA – Kerajaan tidak bercadang untuk menutup sektor ekonomi meskipun kes jangkitan Covid-19 menunjukkan trend peningkatan yang menyaksikan lebih 3,000 kes direkodkan hari ini dengan dua kematian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini kehidupan akan berjalan seperti biasa dan tiada perancangan pihak kerajaan untuk menutup sektor ekonomi dan sebagainya.
“Justeru itu, rakyat negara ini perlu mengambil langkah proaktif dengan mengambil vaksin khususnya dos penggalak bagi melindungi diri dan keluarga masing-masing.
“Walaupun ianya tidak diwajibkan oleh kerajaan tetapi untuk melindungi diri sendiri daripada varian-varian baharu yang kita juga tidak tahu (pada masa akan datang) jadi eloklah untuk ambil dos penggalak,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Korban Perdana Parlimen Bera melibatkan 79 ekor lembu di Masjid Darul Fikri di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera menjelaskan, meskipun kes Covid-19 semakin meningkat, namun difahamkan sekitar tujuh juta rakyat negara ini masih belum mengambil dos penggalak sehingga kini.
“Walaupun tiada paksaan, namun rakyat digalakkan mengambil langkah proaktif dengan mengambil dos penggalak sebagai langkah untuk melindungi diri dan keluarga masing-masing.
“Jadi sekali lagi saya nasihatkan kepada sesiapa yang belum mengambil dos penggalak segeralah mengambilnya dan jika terdapat sebarang simptom segeralah berjumpa doktor untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya, setakat ini pihaknya juga masih belum menerima laporan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) buat mereka yang masih belum mengambil dos penggalak. -KOSMO! ONLINE