fbpx

Jangan jadi korban kebodohan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

ADA satu ungkapan berbunyi, ‘jangan menilai buku daripada kulitnya’. Maksudnya, kita semolek-moleknya usahlah menghakimi sesuatu daripada pandangan zahir, sebaliknya meneliti hakikat sebenar di sebalik pandangan berkenaan.

Berbunyi skema, namun alangkah lucunya, sejak mengenal buku dan berminat untuk memiliki, membeli, membaca seterusnya menyimpan sebagai harta karun yang kadangkala entah bila bakal dihadam, sampul kulit setiap manuskrip bernama buku mudah sahaja menjadi hakim pertama.

Tidak mahu menjurus ke arah sesuatu yang terlalu dangkal, seperti melihat wanita bertudung pantas meletakkan itulah bidadari kiriman Tuhan atau melihat lelaki berambut panjang, bertanjak dan bertengkolok sebagai pendekar yang baru keluar daripada pertapaan.

Kulit buku mungkin boleh dilihat dari sudut ‘branding’ atau imej yang diserlahkan kepada umum, baik dari segi pemakaian, percakapan, pergaulan, cara pembawakan atau siapa kita di mata orang.

Kita tidak boleh menulis atau melukis semua karakter, pekerti mahupun pemikiran pada wajah dan penampilan kita pada satu masa, namun ‘kulit’ yang menjadi pakaian seharian, yang konsisten seadanya bakal jadi itulah ‘buku’ kita. Baik atau buruk, begitu atau begini.

Secara tidak langsung ‘buku’ itu dibaca dan ditebarkan isinya tanpa perlu dibelek sehelai demi sehelai. Cuma perinciannya barangkali hanya akan dihadam oleh insan tertentu, yang paling rapat atau paling sanggup membaca ‘buku’ kita baris demi baris.

Jadi untuk zaman ini, tak perlu marah jika ‘kulit’ kita dinilai orang. Kulit yang kita bawa, tayang dan tulis dalam setiap kemas kini status media sosial misalnya, itulah kita. Memang hidup tak boleh lari daripada menjadi tatapan orang, namun bagaimanapun meminimum atau memaksimum bacaan orang terhadap kulit dan buku kita terpulang kepada diri masing-masing.

Jika berasa sampul kulit buku kita buruk dan tidak membayangkan isi budi, masih ada waktu untuk diperbaiki, kerana kitalah penerbit. Sayangnya juga, ada orang yang sengaja dan berbangga mempamerkan sampul keperibadian terkejinya tanpa rasa malu dengan kebodohan sendiri, bahkan berasa itulah penyataan terbaik untuk menunjukkan kehebatan miliknya, yang tidak ada pada orang lain.

Mengambil contoh yang paling hangat ketika ini, sebagai antara pendosa dan hamba yang jahil, tak salah untuk terdetik syukur kerana setidak-tidaknya kita masih waras dan tidaklah sebebal seorang wanita yang menunjukkan buku ‘bodohnya’ apabila membuka pakaian di depan khalayak.

Lebih memalukan, dia mengakui Melayu, Islam dan hafal ayat al-Quran. Demi konten atau apa niat sekali pun, ternyata ungkapan, jangan menilai buku pada kulitnya seperti tidak terpakai. Buruk pada kulit buruklah isinya.

Banyak lagi kisah tular yang boleh dikaitkan sebagai kulit, buku atau ruas dalam hidup kita. Banyak cara berhemah boleh digunakan untuk menzahirkan siapa kita untuk dikenali, kurangkan sedikit keakuan dan rasa hebat agar tak jadi korban kebodohan sendiri. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI