fbpx

Jangan ambil mudah kesihatan mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SHARKAWI LONDING
WAKIL KOSMO! JOHOR

BARU-BARU ini, negara dikejutkan dengan kes pembunuhan kejam di Johor, Melaka dan Perak.

Kes pertama berlaku pada 4 Julai lalu di Johor Bahru apabila seorang pemuda berusia 25 tahun bertindak luar kawalan selepas dipercayai membunuh isterinya dan bayi mereka.

Sehari kemudian, seorang wanita warga emas ditemui mati disyaki ditikam darah dagingnya sendiri di Melaka, manakala kes ketiga pula melibatkan suami isteri ditemui tidak bernyawa dipercayai dibunuh ahli keluarga mereka di Ipoh pada 7 Julai lalu.

Ketiga-tiga kejadian berdarah itu dipercayai akibat tekanan dan dadah.

Kesihatan mental adalah keadaan kesejahteraan diri yang mana seseorang individu menyedari tentang keupayaannya, dapat mengendalikan tekanan dengan baik, bekerja secara produktif dan mampu menyumbang kepada masyarakat.

Pegawai Psikologi Kanan, Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, kesihatan mental boleh terjejas disebabkan masalah sosioekonomi, pertukaran keadaan persekitaran atau sosial secara mendadak, tekanan kerja dan penyakit.

Menurutnya, tiga tanda awal dapat dilihat bagi mereka yang berdepan masalah kesihatan mental.

“Yang pertama, seseorang itu cenderung untuk mendapat pe­nyakit jantung dan darah tinggi yang menyebabkan sakit kepala dan kesakitan otot.

“Tingkah laku, prestasi kerja mereka mungkin menurun dan cenderung untuk alami kemala­ngan, agresif, mudah marah, sukar membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

“Ada yang mengalami pe­rasaan tidak puas hati, mudah terasa, murung dan penat secara emosi. Antara gejala yang mudah dilihat panas baran, sukar tidur, hilang selera makan, berat badan turun dan tidak bersemangat,” katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, jika seseorang individu itu terdedah tekanan berterusan dan tidak berupaya mengendalikan stres, mereka berkemungkinan boleh mendapat penyakit mental.

Terdapat kaitan yang jelas antara tekanan hidup dan pe­nyakit mental.

Risiko untuk menghidap pe­nyakit mental adalah lebih tinggi sekiranya mempunyai sejarah keluarga selain faktor psikologi dan personaliti, ketidakseimbangan kimia dalam badan dan kea­b­normalan otak.

“Seseorang individu itu akhir­nya berpotensi mendapat pe­nyakit seperti kemurungan, bipolar dan skizofrenia,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Sekolah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Sekolah Pendidik, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Dr. Fatin Aliah Phang Abdullah berkata, langkah pencegahan perlu dilakukan le­bih awal agar tidak berkembang menjadi penyakit mental.

“Bagi individu, antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah dengan memperbaiki strategi menangani masalah, mengukuhkan sokongan sosial dan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Pada peringkat yang lebih besar, penekanan perlu diberikan terhadap promosi kesihatan mental. Promosi kesihatan mental memerlukan penglibatan pelbagai pihak seperti sektor kerajaan, swasta dan organisasi komuniti,” katanya.

Beliau menambah, tumpuan harus diberikan kepada promosi kesihatan mental sepanjang ha­yat iaitu bermula dari peringkat kanak-kanak lagi.

Ini adalah untuk mencegah penyakit mental daripada berlaku ketika peringkat dewasa dan warga tua. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI