PUTRAJAYA- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad disaran untuk lebih pro aktif dalam membantu menyelesaikan isu bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Julai lalu.
Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis berkata, ini kerana kesemua urusan berkaitan haji adalah di bawah kelolaan Tabung Haji (TH) dan bukannya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Merujuk kepada kenyataan akhbar Utusan Malaysia pada 9 Julai oleh Idris yang mengatakan isu penipuan haji adalah di bawah bidang kuasa MOTAC, kami berpendapat ianya tidak betul sama sekali.
“Mengikut akta Parlimen, semua urusan haji adalah dibawah kelolaan TH dan ia bukannya di bawah kelolaan MOTAC,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, kenyataan Idris mengatakan isu haji adalah dibawah MOTAC adalah tidak betul dan ia mengelirukan orang awam terutama bakal jemaah haji yang terkandas baru-baru ini.
Tambah Uzaidi, Idris perlu lebih pro aktif dalam membantu menyelesaikan isu tersebut dan bukan hanya menolaknya kepada pihak yang lain seperti MOTAC.
“Pihak MOTAC di bawah kepimpinan Datuk Seri Nancy Shukri sedang mencuba sedaya upaya untuk membantu memulihkan industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Ia amat tidak adil seseorang menteri menolak isu haji ini kepada MOTAC kerana ia akan menjejaskan nama baik MOTAC dalam kalangan orang awam,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE