fbpx

Berniaga makanan sara enam anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR SURIYA bersama tiga daripada enam anaknya termasuk bayi ketika ditemui di rumahnya di Seremban baru-baru ini.

SEREMBAN – Siapa yang mahu hidup susah, namun itulah ujian yang terpaksa dihadapi seorang wanita dari daerah ini dalam membesarkan enam anaknya yang berusia tiga bulan hingga 12 tahun.

Nor Suriya Abdul Rahman, 38, berkata, anak keempatnya yang berusia lima tahun menghidap penyakit sawan dan perlu berjumpa pakar setiap tiga bulan.

Lebih menyedihkan, rumah yang didiami mereka dinaiki air dalam kejadian banjir ketika dia berpantang.

Menurut Nor Suriya, dia berasa tertekan dan hampir meroyan kerana buntu mencari jalan untuk meneruskan kehidupan membesarkan enam anak termasuk bayi yang dilahirkan pada April lalu.

“Selepas difikirkan sedalam-dalamnya, saya perlu bangkit untuk membesarkan anak-anak supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang sempurna se­perti orang lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di sini baru-baru ini.

Nor Suriya memberitahu, dia bernasib baik kerana orang di sekeliling seperti ahli keluarga dan jiran banyak memberikan sokongan.

“Walaupun tinggal di rumah sewa yang serba kekurangan saya okey, namun apa yang dibimbangkan adalah sekiranya anak saya diserang sawan kerana dia akan pengsan sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital.

“Setiap kali pergi ke hospital, doktor akan mengambil darah­nya. Setakat ini pihak hospital masih belum dapat mengesahkan penyakit sebenar anak saya kerana dia tidak demam semasa diserang sawan,” ujarnya.

Jelas wanita itu, mujur dia menerima bantuan banjir daripada pelbagai pihak baru-baru ini dan wang tersebut digunakan dengan sebaik mungkin untuk menyara kehidupan mereka tujuh beranak.

“Duit (sumbangan) itu saya gunakan dengan berjimat cermat untuk membayar sewa rumah, bil elektrik dan air selain makan minum, lampin pakai buang dan belanja sekolah anak-anak.

“Selain itu, baru-baru ini saya sudah menerima bantuan daripada Baitulmal dan mengambil inisiatif untuk berniaga makanan untuk sarapan di hadapan rumah memandangkan anak-anak masih kecil,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu wanita ini boleh me­nyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank milik Nor Suriya bernombor 1510 7120 3189 atau menghubungi talian 017-716 5048. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI