SOWETO – Seramai 19 orang terbunuh selepas penyerang bersenjata melepaskan tembakan rambang ke arah pengunjung dua buah bar di Afrika Selatan dalam insiden berasingan yang dikecam oleh Presiden Cyril Ramaphosa sebagai ‘tidak boleh diterima serta membimbangkan’.
Di Soweto, 15 orang termasuk dua wanita maut ketika mereka keluar berseronok apabila beberapa penyerang muncul daripada sebuah bas mini dan menembak senjata api berkaliber tinggi ke arah pengunjung.
Di bandar Pietermaritzburg, wilayah KwaZulu-Natal, timur Afrika Selatan, empat orang di sebuah bar terbunuh dan lapan yang lain cedera apabila dua lelaki melepaskan tembakan rambang ke arah pengunjung.
Insiden tembakan kerap berlaku di Afrika Selatan yang merekodkan antara kadar pembunuhan tertinggi di dunia.
Namun, modus operandi serupa dalam serangan hujung minggu lalu itu mengelirukan polis.
“Sebagai sebuah negara, kita tidak boleh membenarkan penjenayah kejam mengganas dengan cara sebegini,” kata Ramaphosa dalam satu kenyataan.
Di Soweto, polis tiba di lokasi kejadian sejurus selepas tengah malam kelmarin.
“Mereka menemui 12 mayat dengan kesan luka akibat tembakan,” kata pegawai kanan polis tempatan, Nonhlanhla Kubheka.
Seramai 11 orang dibawa ke hospital dengan tiga mangsa meninggal dunia akibat kecederaan tidak lama kemudian.
Mereka yang mati berusia antara 19 hingga 35 tahun, kata ketua polis tempatan, Elias Mawela.
“Menurut sebilangan saksi, mereka ditembak secara rambang,” kata Mawela.
Menurutnya, katrij dua raifal tempur termasuk AK-47 ditemui di tempat kejadian, membayangkan bahawa penembak lebih daripada seorang.
Di Pietermaritzburg, empat orang berusia antara 30 hingga 45 tahun maut dan lapan yang lain cedera Sabtu lepas, kata jurucakap polis, Nqobile Gwala.
“Dua lelaki masuk ke sebuah bar dan melepaskan tembakan rambang sebelum melarikan diri, dua mangsa mati di tempat kejadian dan dua yang lain di hospital,” kata Gwala. – AFP