fbpx

Wisma Putra pantau krisis di Sri Lanka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo, Sri Lanka. - FOTO: IHSAN WISMA PUTRA

PUTRAJAYA – Kementerian Luar mengesahkan bahawa pihaknya sentiasa memantau rapat perkembangan di Sri Lanka susulan pergolakan akibat krisis kewangan negara tersebut.

Wisma Putra berkata, pihaknya melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo juga telah menghubungi kesemua rakyat Malaysia yang berdaftar di Sri Lanka.

“Langkah berterusan ini demi memastikan keselamatan mereka dan memudahkan bantuan konsular dapat diberikan dengan segera sekiranya diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra menambah, rakyat Malaysia yang masih belum berdaftar diseru segera berbuat demikian untuk kemudahan pertolongan konsular jika berlaku kecemasan.

“Warga Malaysia juga dinasihatkan supaya memberi perhatian sepenuhnya kepada keselamatan mereka dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” jelas kenyataan tersebut.

Pada masa sama ujarnya, rakyat Malaysia yang ingin melawat Sri Lanka dinasihatkan agar menangguhkan terlebih dahulu perjalanan tidak penting buat seketika kerana situasi belum stabil.

Mereka yang memerlukan bantuan boleh datang ke Suruhanjaya Tinggi yang terletak di No.45, Rosmead Place, 07 Colombo pada hari bekerja dari pukul 8.30 pagi sehingga 4.30 petang.

Canseri diplomatik rasmi negara tersebut turut boleh dihubungi menerusi talian telefon +9477 4830103 atau faksimile +9411 7557714 atau melalui e-mel [email protected].

Terdahulu, pasukan keselamatan Sri Lanka gagal mengawal keadaan ketika ribuan penunjuk perasaan antikerajaan bertindak menyerbu kediaman rasmi Presiden Gotabaya Rajapaksa semalam.

Beliau bagaimanapun sempat dipindahkan ke lokasi rahsia ekoran kebangkitan rakyat yang marah apabila negara itu ketiadaan wang serta kehabisan bekalan petrol dan gas domestik.

Sri Lanka yang memiliki kira-kira 22 juta penduduk, sejak Mei lalu bergelut dengan krisis ekonomi yang terburuk dalam sejarah setelah mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1948.

Setakat ini dianggarkan terdapat sejumlah 85 warga Malaysia yang telah berdaftar dengan pihak Suruhanjaya Tinggi dengan sebahagian besar menetap di wilayah ibu kota Colombo. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI