fbpx

‘Tolong tambah lagi klinik komuniti’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah sebuah klinik komuniti yang terdapat di sekitar kejiranan di Melaka.

PETALING JAYA – Kenaikan caj rawatan dan ubat-ubatan di klinik swasta yang semakin hari semakin mahal telah menyebabkan ramai mula berkira-kira untuk mendapatkan rawatan.

Orang ramai mendakwa terpaksa ke klinik swasta berbanding ke klinik komuniti bagi mendapatkan rawatan kerana tempoh menunggu adalah lebih singkat.

Berita berkaitan: Caj klinik mahal, terpaksa beri anak sisa ubat

Selain itu, bilangan klinik komuniti juga sangat terhad memaksa ramai tiada pilihan me­lainkan ke klinik swasta yang mengenakan caj yang tinggi.

Tinjauan Kosmo! Ahad di sekitar Lembah Klang semalam mendapati, rata-rata rakyat mengeluh dengan caj ‘cekik darah’ yang dikenakan itu.

Seorang penjawat awam, Norhidayah Ali, 28, berkata, dia sering ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan kesihatan kerana tidak mahu menunggu lama di klinik komuniti.

“Saya pernah menerima rawa­tan untuk sakit demam dan batuk dengan bayaran sehingga RM200 untuk sekali rawatan, sangat mahal,” ujarnya.

Berita berkaitan: Gaji minimum antara punca caj klinik jadi mahal

Norhidayah mengakui, kenaikan harga rawatan pemeriksaan kesihatan di klinik mahupun hospital swasta semakin tinggi sehingga membebankan dirinya.

Sementara itu, seorang ibu tunggal yang mahu dikenali sebagai, Fauziah, 44, meminta Kementerian Kesihatan menambah klinik komuniti di Malaysia bagi meringankan beban rakyat.

“Klinik kesihatan ini senang, rakyat perlu bayar RM1 untuk semua jenis penyakit. Rawatan diberikan juga sama seperti klinik-klinik swasta yang lain tetapi klinik perlu lebih banyak lagi.

Berita berkaitan: Bukan masa hendak naikkan caj klinik swasta – KJ

“Klinik kesihatan sentiasa sesak sampai waktu menunggu dapatkan rawatan dan ubat sehingga 6 jam. Lama nak tunggu kalau kita sakit,” jelasnya.

Bagi seorang pekerja swasta, Faruk Ibrahim, 44, pula, menjelaskan kewujudan klinik kesihatan sememangnya dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan perubatan.

“Ekonomi sekarang kurang baik. Kalau selagi kita boleh kurangkan kos untuk biayai perubatan, kita cuba,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, ramai yang mengeluh terutama­nya golongan berpendapatan rendah kerana terpaksa membayar kos yang agak tinggi untuk mendapatkan rawatan.

“Seperti kita tahu, keada­an sekarang berbeza sebelum wabak Covid-19 melanda, ramai yang mudah sakit seperti demam dan batuk sehingga terpaksa mengunjungi klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

“Sekiranya klinik kesihatan kerajaan ditambah, ia dapat memudahkan dan meringankan beban masyarakat yang memerlukan rawatan,” katanya.

Kosmo! kelmarin melaporkan ramai ibu bapa terpaksa guna ubat lama kerana tidak mampu dapatkan rawatan di klinik swasta yang semakin mahal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI