KUALA LUMPUR – Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu menjadikan pengorbanan besar Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail sebagai teras dan tunjang dalam menjaga keselamatan serta benteng pertahanan negara.
Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Brigedier Jeneral Mohd. Hamzah Adam berkata, pihaknya berharap ibadah korban yang dilaksanakan ini bukan bertujuan untuk syiar Islam semata-mata malah memberi impak besar kepada warga ATM keseluruhannya.
“Ibadah korban ini merupakan pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail, jadi saya harap ia dapat memberi satu impak kepada warga ATM dengan menjadikan pengorbanan dua beranak itu sebagai tunjang dalam kehidupan dan juga ketika menjaga keselamatan negara.
“Secara tidak langsung, ibadah ini turut menyemarakkan hubungan silaturrahim dan ukhwah dalam kalangan anggota dan pimpinan atasan ATM serta para jemaah yang sentiasa berada di sekitar masjid ini,” ujarnya kepada pemberita ketika Program Korban dan Aqiqah ATM di Pekarangan Masjid Khalid Al-Walid, Kementah, Jalan Padang Tembak di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Hamzah yang mewakili Ketua Pengarah KAGAT, Mejar Jeneral Mohd. Rashidi Bujai menerima pisau sembelihan daripada Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Zakaria Yadi sebagai simbolik perasmian program berkenaan.
Pada program itu, sebanyak 26 ekor lembu dan empat ekor kambing disembelih dan dilapah secara bergotong royong oleh 150 anggota ATM dengan kerjasama Pengurusan Masjid Khalid Al-Walid Kementah (MKWK).
Daging korban tersebut akan diagihkan kepada 150 hingga 200 penerima yang terdiri daripada ahli kariah masjid serta fakir miskin di sekitar kawasan masjid.
Mengulas lanjut, Mohd. Hamzah memberitahu, ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ibadah korban hanya disambut secara terhad dengan penyembelihan 18 ekor lembu sahaja di pusat penyembelihan tanpa kehadiran orang ramai.
“Bagaimanapun tahun ini telah diberi kelonggaran di fasa peralihan endemik ini yang menyaksikan kita melaksanakan program korban secara terbuka dengan semangat bergotong royong dan penuh muhibbah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE