fbpx

Siasatan bongkar konsep ladang getah balak ditukar kepada durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandangan dari udara Gunung Inas di Baling. - SHAHIR NOORDIN

PUTRAJAYA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan bahawa satu notis arahan pernah dikeluarkan kepada penggerak projek ladang hutan di Gunung Inas, Baling, Kedah tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, memo bertarikh 10 Mac 2021 itu adalah susulan siasatan agensi tersebut yang mendapati terdapat perubahan konsep asal projek terbabit.

“Berdasarkan penyiasatan JAS, notis dikeluarkan apabila ladang di tapak itu telah ditanam dengan pokok durian dan bukan pokok getah klon balak,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Beliau merujuk kejadian banjir lumpur di Kampung Iboi dalam daerah berkenaan minggu lalu apabila pelbagai pihak mempersoalkan sama ada kajian impak alam sekitar (EIA) dilakukan.

Cadangan ladang hutan di situ dilaksanakan oleh penggerak projeknya, Perbadanan Menteri Besar Kedah dengan usaha sama, Kedah Agro Plantation Sdn. Bhd. pada peringkat awalnya.

Ujarnya, penggerak projek itu kemudian telah ditukar kepada Aman Mega Sdn. Bhd. yang tular apabila media mendapati ia dimiliki pasangan suami isteri dan berpusat di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Latiff mengesahkan konsep projek yang dibenarkan itu hanyalah pembangunan ladang hutan berkeluasan tidak lebih 5,000 hektar dengan ada tiga komponen.

“Laporan EIA telah diluluskan pada 25 Julai 2013 setelah Jawatankuasa Penilaian Teknikal mendapati langkah pencegahan, mitigasi dan kawalan pencemaran adalah mencukupi,” jelasnya.

Katanya, pemeriksaan penguatkuasaan terkini JAS pada 24 Mei lalu bagaimanapun mendapati tiada kerja penanaman semula anak benih pokok yang dijalankan di lokasi kompartmen 8 hutan itu.

“Saya telah mengarahkan JAS Kedah meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala demi memastikan aktiviti tertakluk keperluan perundangan,” tegasnya.

Bagaimanapun beliau mengesahkan tiada aktiviti pembalakan aktif atau penanaman semula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih dua tahun lalu hingga tempoh tamat dan ke hari ini.

Keadaan berkenaan katanya, disebabkan projek aktiviti tersebut tidak mendapat sebarang kelulusan operasi kerja daripada pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Namun tambahnya, tanaman tutup bumi telah pun ditanam dan pihak JAS mendapati ia tumbuh dengan baik bagi tujuan menutupi keseluruhan kawasan tanah projek yang terdedah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI