KEJAYAAN Selangor mara ke suku akhir Piala FA musim ini menjadi hadiah ulang tahun paling bermakna buat pengendali pasukan, Michael Feichtenbeiner dan wiranya, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau.
Feichtenbeiner menyambut ulang tahun ke 62 kelmarin, manakala esok (11 Julai) Aliff Haiqal bakal mencecah usia 22 tahun.
Bagaimanapun, kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur City pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin ‘membebaskan’ tekanan yang sedang dihadapi Feichtenbeiner buat seketika selepas didesak supaya melepaskan jawatannya ekoran prestasi buruk dicatatkan Gergasi Merah.
“Ia adalah perlawanan yang sukar dan kami hadapinya sejak dari awal perlawanan hingga jaringan terhasil. Kami pasukan yang menyerang dan KL City sentiasa bertahan.
“Kami mahu menang setiap perlawanan, namun bagi saya semua pasukan termasuk Manchester City pun tidak mampu melakukannya. Buat masa ini, kami perlukan kemenangan untuk gembirakan semua orang.
“Apabila menang, ia sesuatu yang bagus untuk saya menyambut ulang tahun kelahiran. Terima kasih kepada pemain kerana mempamerkan aksi yang cukup bagus,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan kelmarin.
Pada perlawanan itu, keputusan Feichtenbeiner memasukkan Aliff Haiqal menjadi percaturan berbaloi dan pemain muda itu tidak menanti terlalu lama sebelum meledak gol kemenangan pada minit ke-62.
“Sebelum masuk ke padang, jurulatih tidak bercakap banyak kerana dia tahu kemampuan saya. Cuma dia pesan, masuk ke padang dan cuba lakukan sehabis baik.
“Saya pun tidak tahu apa yang boleh saya katakan dan mungkin ini rezeki saya apabila bola tiba-tiba datang depan mata. Walaupun masih awal, ia menjadi hadiah (hari jadi) bernilai buat saya,” katanya.