fbpx

Banjir Baling: Penduduk sayu sambut raya di PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa banjir menjamu selera dengan lemang dan kari daging ketika ditemui di PPS SMK Jerai, Baling hari ini.

BALING – Kalangan mangsa kepala air dan banjir kilat sayu apabila terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai di sini.

Mangsa, Azizan Md. Isa, 49, berkata, suasana hari raya kali ini berbeza kerana dia sekeluarga tidak membuat persiapan kerana tidak lagi mempunyai rumah.

“Saya hanya bagi tumpuan untuk bangkit semula daripada musibah ini sehingga tidak terfikir langsung tentang hari raya sebelum tersedar selepas terdengar takbir raya.

“Hari ini seperti hari-hari biasa sahaja, tiada lemang mahupun ketupat, hendak makan pun tiada selera apabila mengenangkan ahli keluarga isteri yang meninggal dunia dalam tragedi banjir lumpur baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, jika sebelum ini semua keluarga tertumpu di rumahnya di Kampung Bukit Iboi, namun srmuanya kini hanya tinggal kenangan.

Isterinya, Nor Azah Aziz, 45, pula berkata, hatinya sayu dan pilu apabila mengenangkan kakak, Salmah Mat Akib, 53; anak saudara, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, dan menantu saudaranya, Nurul Anis Abu Hassan, 23.

“Suasana amat berbeza dan kami rasa sedih dan pilu mengenangkan mereka yang telah pergi dan kami pula kehilangan rumah. Hari ini kami tidak dapat berkumpul beramai-ramai seperti hari raya tahun lepas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI