SEBERANG PERAI – Perayaan Aidiladha di Pulau Pinang khususnya di Seberang Perai pada tahun ini disambut dengan penuh kesederhanaan namun tetap meriah.
Tinjauan Kosmo! di beberapa masjid di sekitar Bukit Mertajam dan Seberang Jaya di sini mendapati, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk berpusu-pusu ke masjid bagi menunaikan solat sunat Aidiladha.
Meskipun jumlah yang hadir ke masjid tidak seramai ketika sambutan Aidilfitri sebelum ini namun, kemeriahannya masih terasa.
Rata-rata mereka gembira kerana dapat ke masjid bersama-sama ahli keluarga masing-masing.
Bagi Mohd. Shariff Shaipudin, 36, dia bersyukur kerana diberi ruang dan peluang untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di tempat sendiri pada tahun ini selepas tidak dapat berbuat demikian sejak enam tahun lepas.
“Selain disebabkan oleh pandemik Covid-19, saya juga tak dapat balik kampung sebelum ini kerana bertugas di Johor,” katanya yang tinggal di Seberang Jaya ketika ini.
Bagi seorang warga Bangladesh yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 40-an, Aidiladha kali ini tetap meriah sama seperti sambutan Aidilfitri yang lalu.
“Saya gembira kerana tahun ini saya boleh kirim duit untuk keluarga buat korban di sana (Bangladesh). Alhamdulillah,” katanya yang telah bekerja di Pulau Pinang sejak tujuh tahun lepas.
Dalam pada itu, beberapa buah masjid serta orang perseorangan di sekitar kawasan ini turut melakukan ibadah korban seperti yang dituntut dengan menyembelih lembu. KOSMO! ONLINE