WASHINGTON – Seorang wanita di Amerika Syarikat (AS) mengaku tidak bersalah membunuh kekasihnya dengan memenggal kepala dan kemaluan mangsa ketika mereka melakukan hubungan intim, lapor akhbar Daily Star UK kelmarin.
Polis negeri Wisconsin menerima panggilan telefon pada 23 Februari lalu yang menyatakan bahawa kepala mangsa, Shad Thyrion, 23, ditemui di dalam sebuah baldi di rumah ibunya.
Semasa menyerbu lokasi kejadian, polis turut menemui kemaluan mangsa di dalam baldi sama, bahagian atas badan mangsa di dalam kotak simpanan dan darah yang sudah kering di atas tilam.
Dalam perbicaraan pada minggu ini, Taylor D. Schabusiness, 24, didakwa kerana kesalahan membunuh dan mencacatkan mangsa.
Menurut pendakwa raya, suspek mencabul kekasihnya selepas mangsa meninggal dunia.
Menurut polis, pihaknya menemui pakaian suspek yang dipenuhi kesan darah di kediaman wanita itu. Turut ditemui adalah beberapa anggota badan badan mangsa di dalam van milik suspek.
Suspek dikatakan menjalani rawatan sakit mental akibat gangguan bipolar selama bertahun-tahun.
Schabusiness memberitahu polis bahawa dia dan mangsa mengambil dadah pada hari kejadian dan dirinya menjadi ‘gila’.
Menurut polis, suspek mengaku mencekik Thyrion tetapi tidak berniat untuk membunuhnya.
Mahkamah diberitahu bahawa suspek menggunakan pisau pemotong roti dari dapur untuk memotong mayat Thyrion.
Perbicaraan seterusnya ditetapkan pada 24 Oktober tahun ini. – Agensi