LONDON – Bekas Canselor Perbendaharaan Britain, Rishi Sunak secara rasmi mengumumkan akan bertanding sebagai calon untuk mengisi jawatan Perdana Menteri yang akan dikosongkan oleh Boris Johnson, lapor portal berita MailOnline semalam.
Rishi membuat aku janji untuk kembali membentuk sebuah kerajaan yang dipercayai, membina semula sektor ekonomi dan menyatu-padukan Britain.
Dalam satu klip video yang digambarkan sebagai licik, bekas Canselor itu berikrar bahawa kempen beliau bagi merebut kepimpinan Parti Konservatif (Tories) akan berasaskan semangat patriotisme, keadilan dan kerja keras.
Pemimpin berusia 42 tahun itu juga melancarkan sebuah laman web sebagai sebahagian daripada pelancaran kempennya bersama slogan bermaksud ‘Bersedia Untuk Rishi’.
Perebutan jawatan Perdana Menteri Britain itu boleh disifatkan sebagai sengit apabila ramai ahli parlimen lain berkongsi hasrat yang sama susulan peletakan jawatan Johnsons sebagai pemimpin Tories minggu ini.
“’Negara kita berdepan cabaran besar dan serius bagi generasi akan datang. Seseorang yang tegas perlu memimpin kerajaan pada masa ini dan membuat keputusan yang betul.
“Pilihan yang kita buat hari ini akan menentukan sama ada generasi akan datang mempunyai lebih banyak peluang berbanding generasi sebelum mereka,” kata Rishi.
Pelancaran kempennya yang sangat teratur dan profesional menimbulkan persoalan adakah ia sudah lama dirancang sebelum Johnson dan beliau sendiri mengumumkan peletakan jawatan masing-masing minggu ini.
Rishi kini mendapat sokongan bekas pengerusi Parti Konservatif Oliver Dowden, bekas menteri Kabinet, Liam Fox dan dua bintang politik Tories yang sedang meningkat naik iaitu Laura Trott serta Angela Richardson. – Agensi