PETALING JAYA – Susulan penularan dan kecaman aksi tanggal tudung dan pakaian ketika membuat persembahan stand up comedy (komedi solo) hari ini, pelawak wanita terbabit, Siti Amira Natasha Abdullah muncul menerusi siaran langsung dalam saluran YouTube miliknya, petang tadi.
Wanita yang disapa Amy bersama kekasihnya, Alex itu menjawab pelbagai soalan pengguna YouTube, terutama berkaitan video kontroversi membabitkan dirinya.
Sedar video persembahannya tular dalam media sosial sehingga mengundang kecaman ramai, wanita terbabit bagaimanapun mengelak daripada menjawab soalan berkaitan tindakan beraninya.
Pada masa sama, Amy yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak mengakui sangat berbangga menjadi seorang Islam.
Dalam pada itu, Alex juga menyifatkan teman wanitanya sebagai seorang yang berpegang pada ajaran Islam dan mendakwa akan memeluk agama tersebut selain bakal berkahwin tidak lama lagi.
Alex bagaimanapun menghalang Amy daripada menjawab soalan berkaitan video kontroversinya kerana enggan jawapan mereka akan disalah tafsir.
Ketika ditanya sama ada kekasihnya gemar berbogel di depan khayalak seperti dilakukannya dalam video tersebut, Alex menafikannya.
“Saya tidak rasa jika dia seronok berbogel di khayalak,” jawabnya.
Berdasarkan hasil carian, video melibatkan Siti Amira yang tular hari ini dimuat naik dalam YouTube mereka bertarikh 16 Jun lalu dan setakat ini ditonton sebanyak hampir 3,000 kali.
Bagaimanapun, tiada sebarang komen untuk video tersebut yang diklasifikasikan Alex dan Amy untuk penonton berusia 18 tahun ke atas.
Hasil selidik juga mendapati, akaun YouTube pasangan itu dipenuhi dengan banyak perkongsian terbuka mengenai topik hubungan seksual selain memaparkan Amy dalam keadaan mencolok mata dengan hanya memakai baju dalam.
Malah Amy juga dilihat mengenakan tudung dan menutup aurat dengan baik dalam beberapa buah video lain yang berkongsi tentang tip ‘dating’ untuk orang Malaysia.
Hari ini, negara dikejutkan dengan penularan sebuah video memaparkan tindakan seorang pelawak wanita yang menanggal tudung dan membuka pakaiannya di hadapan ramai ketika mengadakan persembahan komedi solo di sebuah kelab di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Dalam video berkenaan, Amy mengaku berketurunan Melayu, beragama Islam dan menghafal 15 juzuk al-Quran.
Video tersebut mengundang kecaman sehingga mendapat perhatian banyak pihak termasuklah golongan pendakwah, selebriti dan pelawak yang menyifatkan perbuatannya sangat memalukan dan menghina Islam.
Selain mendapat perhatian serius Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), satu laporan polis tentang perbuatan wanita dalam video berkenaan juga sedang dalam siasatan polis. – KOSMO! ONLINE