MANCHESTER – Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah mula mencari ‘talian hayat’ dengan meletakkan pemain antarabangsa Argentina, Paulo Dybala sebagai calon utama untuk menggantikan Cristiano Ronaldo sekiranya penyerang itu berhijrah pada jendela perpindahan kali ini.
Sebagai rekod, konflik melibatkan Ronaldo dan United bertambah buruk sejak penyerang antarabangsa Portugal itu menyatakan hasrat secara terbuka kepada pihak pengurusan untuk tidak lagi mahu kekal di Old Trafford pada musim depan.
Situasi tersebut menyaksikan United berdepan tekanan apabila Ronaldo tidak melaporkan diri pada kem latihan pusat sejak awal minggu ini sebelum mengesahkan pemain berusia 37 tahun itu tidak akan menyertai siri jelajah pramusim di Thailand dan Australia minggu depan.
Malah, pelancaran jersi musim baharu The Red Devils yang sepatutnya didedahkan kepada umum minggu lalu turut terpaksa ditunda susulan kontroversi yang dicipta oleh bekas pemain Real Madrid itu.
Kini, United yang dibimbing pengendali baharu, Erik Ten Hag sudah mahu memandang ke depan dengan menggesa agar pihak pengurusan tertinggi berbincang mengenai potensi menandatangani Dybala secara percuma selepas kontraknya bersama Juventus berakhir bulan lepas.
Malah, United tidak mempunyai masalah untuk menawarkan gaji tinggi yang diminta oleh Dybala kerana pihak pengurusan tidak lagi perlu menanggung gaji Ronaldo yang menerima £26 juta (RM138.5 juta) semusim ketika ini.
Dybala yang kini berusia 29 tahun telah menjaringkan 115 gol sejak bersama Juventus bermula musim 2015 dan khidmatnya turut diburu beberapa kelab gergasi Serie A seperti Inter Milan dan AC Milan. – AGENSI