MILAN – Penyerang AC Milan, Olivier Giroud berseloroh akan membelanja makan malam Zlatan Ibrahimovic sekiranya bintang veteran itu bersetuju dengan kontrak baharu dan kekal bersama juara Serie A tersebut.
Zlatan yang akan genap usia 41 tahun pada Oktober depan, kini menjadi ejen bebas sejak minggu lepas selepas kontraknya di San Siro berakhir.
Biarpun masalah umur dan kecergasan menyekat Zlatan yang hanya dapat bermain 12 aksi dalam semua kejohanan musim lalu, namun Milan dikatakan tetap menawarkannya kontrak baharu selama setahun.
“Kalau dia tandatangan perjanjian itu, saya akan bayar makan malamnya. Tiada tekanan sebenarnya, tetapi kami semua mahukan dia terus berada di sini.
“Dia masih dahagakan kejayaan dan kehadirannya amat penting dalam bilik persalinan. Saya sentiasa berbual dengannya, kami berdua mempunyai keinginan sama untuk menang walaupun dia sudah berusia 40 tahun,” kata Giroud.
Biarpun jarang bermain, namun Zlatan masih mampu meledak lapan gol musim lalu, ketinggalan enam jaringan di belakang Rafael Leao dan Giroud yang merupakan dua penjaring terbanyak Milan.
Sebagai rekod, musim pertama Giroud bersama Milan selepas berhijrah dari Chelsea musim lalu berakhir dengan penuh gemilang selepas dia membantu kelab itu menjulang kejuaraan Scudetto buat kali pertama buat kelab itu sejak 11 tahun.
Ia adalah kejuaraan liga kedua dalam karier Giroud selepas pernah memenangi Ligue 1 bersama Montpellier pada musim 2011/2012.
Justeru, Giroud amat berharap Zlatan kekal kerana jentera serangan Milan musim depan dilihat lebih bertenaga
susulan kehadiran penyerang ‘ajaib’ Liverpool, Divock Origi.
– AGENSI