fbpx

Lori rempuh 11 kenderaan di Tambak Johor bawa muatan lebih had

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lori yang merempuh 11 kenderaan dalam kejadian di Tambak Johor, 7 Julai lalu membawa muatan melebihi had yang ditetapkan.

JOHOR BAHRU – Polis mengesahkan lori treler yang merempuh 11 buah kenderaan lain di Tambak Johor pada 7 Julai lalu membawa muatan melebihi had ketika kejadian itu berlaku.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, perkara itu diketahui selepas lori berkenaan dihantar untuk menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Menurut beliau, siasatan berhubung aspek teknikal lain seperti berlakunya masalah brek sedang dijalankan.

“Berhubung kejadian lori yang merempuh kenderaan lain di Tambak Johor itu, kita sedang jalankan siasatan daripada pelbagai aspek bagi mencari punca kejadian dan juga pihak-pihak yang bertanggungjawab.

“Kita sudah membuat serbuan di pejabat syarikat lori berkenaan untuk melihat rekod penyelenggaraan dan sebagainya, dimana kita dapati lori itu membawa muatan melebihi had dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas memantau penggunaan dron dalam penugasan Op Lancar di Jalan Tebrau, di sini hari ini.

Tambah Kamarul Zaman lagi, siasatan berhubung kes berkenaan masih dijalankan dan sekiranya tempoh reman suspek tamat kita akan mohon reman lanjutan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memberitahu lori bermuatan habuk batu itu dipercayai mengalami masalah kerosakan teknikal sehingga merempuh 11 buah kenderaan lain di sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura itu.

Raub turut dilaporkan berkata, kemalangan itu melibatkan 12 buah kenderaan iaitu sebuah lori, sebuah bas, sebuah van dan sembilan buah kereta dengan enam daripadanya merupakan kenderaan berdaftar di Malaysia dan enam yang lain bernombor pendaftaran Singapura.

“Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa mahupun kecederaan sebaliknya hanya laporan kerosakan kenderaan diterima,” katanya.

Sementara itu, berhubung sambutan perayaan Hari Raya Aidiladha, Kamarul Zaman memaklumkan seramai 1,120 pegawai dan anggota Polis Kontinjen Johor akan ditugaskan untuk memastikan kesejahteraan dan kelancaran trafik.

“Polis akan meningkatkan pemantauan di 30 lokasi ‘hotspot’ yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan dan juga kesesakan menjelang musim perayaan.

“Setakat ini, kita dapati pergerakan keluar masuk ke Johor khususnya bandar raya Johor Bahru masih lancar dan terkawal,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI