MENJUAL vibe dengan suntikan muzik dan melodi Arab, Casablanca kini menjadi siulan dan pilihan pendengar sehinggakan menduduki tangga pertama playlist popular menerusi Spotify, Carta Malaysia 50.
Sejujurnya buat penulis, saat pertama kali mendengar lagu ciptaan ‘trio’ Abdulkarim Al Ali, Daqmie dan Wan Saleh menerusi radio, terfikir juga, adakah lagu berkenaan merupakan gubahan dan nyanyian anak seni dari Tanah Arab.
Rupa-rupanya, dendangan tersebut milik Nuha, seorang penyanyi yang suatu ketika dahulu pernah tular gara-gara persembahannya yang dianggap sumbang dan ‘terkucil’ dalam sebuah program realiti.
Wanita itu menjalin kolaborasi menerusi karya berkenaan dengan Naufal Azrin yang pernah menganggotai kumpulan nasyid Zayne.
Bahasa Arab, sebutan jelas
Casablanca mudah menyita perhatian dengan komposisi muzik yang jelas dan nukilan lirik ‘menangkap’, hatta terdapat bahagian menggunakan bahasa Arab yang diadun bersama dengan penggunaan bahasa Melayu.
Naratif lagu dicungkil daripada kisah kasmaran pasangan kekasih yang banyak dikongsikan dalam aplikasi TikTok, Casablanca memiliki nilai trendy baik dari segi susunan muzik dan penulisan lirik, sekali gus mudah lekat di fikiran dan jiwa sesiapa yang mendengar.
Dari segi listrik vokal, sangat terkesima dengan clarity atau kejelasan sebutan yang dilontarkan sama ada oleh Nuha dan Naufal.
Tanpa bantuan Google atau YouTube, sukar rasanya penyanyi lagu berkenaan dikenal pasti.
Itu satu percaturan dan strategi yang berjaya buat Nuha dan Naufal. Penting sebenarnya setiap artis memastikan kekuatan dan signatur masing-masing.
Dari situ, tercernalah buah tangan yang diberu judul Casablanca. Lagu berkenaan juga sedang menjadi antara lagu yang menjadi pilihan pengguna di TikTok, satu platform ‘pemasaran’ yang paling efekif zaman sekarang.
Keserasian
Dalam pada itu, cetusan kimia antara dua penyanyi terlibat juga memainkan peranan yang sangat penting membuahkan sukses Casablanca.
Nuha rakan duet yang baik kepada Naufal dan energi sama dicernakan penyanyi wanita tersebut.
Asalnya, perjalanan kerjaya Nuha tidak mendarat dengan baik disebabkan insiden ‘terkucil’, namun betul kata orang, usaha tangga kejayaan.
Usaha
Sekarang sudah terbukti bahawa Nuha sememangnya boleh bernyanyi dengan baik.
Menjadi seorang penyanyi bukan sekadar tentang kualiti vokal semata-mata, tetapi perlu mencari keselesaan dalam pilihan muzik.
Atas perhitungan tersebut, Nuha sudah menemui jiwa dan posisi yang selayaknya menerusi Casablanca.
Tidak keterlaluan, lagu berkenaan juga memberikan nafas baharu dalam industri muzik tanah air yang sejak kebelakangan ini agak tercari-cari dalam kesamaran, hala tuju yang mudah menjadi pilihan khalayak.
Casablanca sebuah lagu yang catchy dan sangat easy-listening.
Sekali dengar, terus melekat dan terus menjadi pilihan.
Syabas buat Nuha, Naufal, komposer dan sesiapa yang terlibat dalam kelahiran karya tersebut.