fbpx

Finas janjikan penstrukturan semula agihan kutipan tiket filem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERTEMUAN Finas bersama wakil industri mencapai kata sepakat untuk mengkaji semula formula agihan kutipan tiket wayang yang menjadi perdebatan ramai.

PETALING JAYA – Perdebatan karyawan filem berhubung kadar agihan kutipan tiket antara penerbit dan pemilik panggung wayang ataupun pemamer akhirnya mendapat mendapat harapan baharu hasil pertemuan bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) dan Persatuan Penerbit Filem (PFM).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi memaklumkan, pertemuan yang berlangsung di Finas beberapa hari lalu menyaksikan satu persetujuan satu formula baharu kadar agihan kutipan tiket wayang diwujudkan agar semua pihak mendapat keuntungan  bersama.

“Isu ini kena kaji semula. Kami berjumpa dan berbincang untuk mencari persetujuan kadar pembahagian keuntungan kutipan tiket.

“Perkara ini sudah 10 tahun berlaku tetapi tiada penghujung. Jadi apabila isu ini kembali dibangkitkan oleh beberapa penerbit filem dan anak seni seperti Mawi, Datuk Yusof Haslam dan juga Nam Ron, jadi Finas tampil dengan tindakan sewajarnya,” kata Md. Nasir.

Kata Md. Nasir lagi, kedua-dua persatuan tersebut mempunyai pandangan masing-masing tetapi bersetuju untuk mengkaji semula kadar yang ditetapkan sebelum ini.

“Masing-masing ada pandangan dan kami berbincang secara profesional. Penerbit nak tuntut bahagian yang tinggi sebab risiko mereka menayangkan karya di panggung wayang.

“Hasil perbincangan tersebut turut mengambil kira perbandingan yang dibuat dengan negara luar khususnya Asia dalam melaksanakan kadar agihan kutipan tiket.

“Tetapi pihak MAFE yang hadir khususnya wakil syarikat pawagam terbesar negara, GSC Cinemas (GSC) juga sedar tentang risiko dan cabaran dilalui penerbit kerana tidak semua filem ditayangkan di pawagam pecah panggung. Jadi mereka setuju untuk kaji semula kadar tersebut, lebih baik dari sekarang,” katanya lagi.

Pertemuan dua jam di Kompleks Studio Merdeka di ibu pejabat FINAS di Hulu Klang baru-baru ini dihadiri tujuh wakil MAFE dan tiga pimpinan PFM iaitu Presidennya, Pansha, Setiausaha Kehormat, Zaharin Aris dan penerbit serta pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam.

Sehubungan itu, Finas turut memberi tempoh seminggu untuk MAFE menyiapkan kertas kerja penstrukturan semula agihan kutipan dengan mengambil kira prestasi filem. Satu pertemuan semula juga diadakan pada 21 Julai ini. Jika persetujuan bersama dicapai, Finas akan menyerahkan perkara berkenaan kepada menteri untuk diputuskan secara rasmi.

“Jika mereka bersetuju, kami akan meteraikan perkara ini secara rasmi. Menteri akan umumkan sebab ini isu besar.

“Hakikatnya, ini berita baik untuk semua penerbit filem bahawa satu kadar baharu akan dilaksanakan demi mewujudkan situasi ‘menang-menang’ kepada semua pihak yang terlibat.

“Kami akan pastikan tiada pihak yang tertindas. Semua ini dilakukan atas dasar keinginan untuk memajukan industri perfileman tempatan dan kerana terjejasnya kebanyakan pemain industri selepas pandemik,” ujarnya.

Sebelum ini, isu pembahagian kutipan tiket filem yang berbeza antara pihak pawagam dan penerbit mengikut kadar peratusan ditetapkan hangat diperkatakan oleh kebanyakan anak seni.

Pada minggu pertama tayangan, panggung wayang mengambil 50 peratus daripada kutipan diikuti sebanyak 55 peratus pada minggu kedua, manakala penerbit pula menerima 45 peratus agihan.

Kemudian pada minggu ketiga tayangan, 60 peratus diambil pawagam, manakala 40 peratus oleh penerbit.

Isu tersebut yang diibaratkan sudah lama menjadi duri dalam daging oleh kebanyakan anak seni mula diperkatakan kembali selepas filem epik arahan Syamsul Yusof, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM53 juta selepas 13 hari ditayangkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI