KOTA BHARU – Seorang suri rumah melecur kedua-dua belah kaki ketika cuba menyelamatkan wang tunai RM1,000 pemberian suaminya dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Lundang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, Nor Ayuni Saari, 39, terkilan tidak sempat mengambil wang diberi suaminya, Mohamad Nazri Othman, 43, selepas menerima gaji kelmarin untuk digunakan sebagai perbelanjaan sempena Hari Raya Aidiladha.
Menurut Nor Ayuni, dia menyedari rumahnya terbakar apabila terdengar bunyi letupan dari sebuah bilik semasa sedang tidur sebelum mengejutkan suami dan tiga anak berusia lima hingga 19 tahun.
“Saya cuba untuk menyelamatkan wang tersebut di dalam bilik, namun api terus marak sehingga menyebabkan kedua-dua belah kaki melecur. Salah seorang anak saya turut melecur pada tangan kanan selepas terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri.
“Kami sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang apabila tidak sempat menyelamatkan wang tunai dan semua dokumen penting,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Menurut Nor Ayuni, selain kesemua barangan di dalam rumah, sebuah motosikal jenis Yamaha Nouvo S yang dibeli sejak dua tahun lalu turut musnah selain menganggarkan mengalami kerugian hampir RM20,000 akibat kebakaran itu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Darulnaim, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.02 pagi sebelum 23 anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira lima minit kemudian dan rumah terbabit terbakar hampir 80 peratus. – KOSMO! ONLINE