fbpx

Banjir Baling: Tiada persiapan sambut Aidiladha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Irman membersihkan keretanya yang ditenggelami banjir lumpur di pekarangan rumahnya di Kampung Bukit Iboi, Baling hari ini.

BALING – Rata-rata penduduk yang terjejas akibat banjir kilat dan kepala air di Kupang di sini tidak melakukan sebarang persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidiladha esok.

Kebanyakan mereka masih sibuk membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur akibat kejadian tersebut.

Penduduk Kampung Bukit Iboi, Mohd. Irman Abdul Latif, 37, berkata, dia sekeluarga menyambut Aidiladha dengan apa yang ada tanpa sebarang persiapan.

“Saya sekeluarga masih melakukan kerja-kerja mencuci rumah dan barangan yang basah serta diselaputi lumpur.

“Sedih kerana kami tidak membuat sebarang persiapan kerana banyak barang yang musnah dan dihanyutkan air dalam kejadian tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mereka juga tidak membakar lemang mahupun memasak rendang seperti sebelum ini.

Seorang lagi penduduk, Mek Tom Keria, 64, pula berkata, keseluruhan harta benda dan perkakasan dapur dan elektrik di dalam rumahnya rosak.

“Dapur gas rosak, manakala tong gas pula hilang dihanyutkan air, macam mana kami hendak masak rendang, rebus ketupat.

“Nasib baik semua anak dan cucu balik kampung untuk bantu bersihkan rumah dan sediakan makanan. Mungkin mereka juga yang buat persiapan raya untuk kami,” katanya yang memberitahu keletihan kerana tidak cukup tidur dan rehat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kira-kira 800 keluarga dibantu bagi meringankan beban mereka.

“Kita sangat bersimpati dengan nasib mereka, apatah lagi pada saat umat Islam lain sedang sibuk membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha pada esok,” katanya.

Tambahnya, bagi fasa pertama, pihaknya menghantar barangan keperluan seperti tilam, dapur, periuk nasi dan cerek elektrik.

“Fasa seterusnya, kita akan memberikan sumbangan seperti televisyen, peti ais dan kipas angin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI