BALING – Raja Muda Kedah menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi kepala air dan banjir lumpur yang berlaku di Kampung Iboi, Kupang di sini.
Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, ini kerana kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku di negeri ini yang turut mengorbankan nyawa penduduk.
“Masa itu dapat berita daripada WhatsApp (tentang) kejadian yang berlaku, saya rasa terkejut, berasa sedih benda ini berlaku lagi.
“Ini bukan pertama kali, (tetapi) ini kali kedua selepas di (Gunung Jerai), Yan. Jadi saya sedih berlaku kepada penduduk kampung,” titah baginda selepas mencemar duli ke Kampung Iboi, di sini hari ini.
Pada Isnin lalu, tiga penduduk Kampung Iboi yang tidak sempat menyelamatkan diri ditemui meninggal dunia selepas dihanyutkan aliran air deras akibat kepala air dan banjir lumpur dari Gunung Inas.
Kejadian tersebut tidak sampai setahun selepas tragedi sama berlaku di Gunung Jerai pada 18 Ogos tahun lalu yang mengorbankan enam penduduk.
Justeru, Tengku Sarafudin Badlishah bertitah agar penduduk yang tinggal di kawasan berisiko seperti tebing-tebing sungai agar berpindah segera setelah menerima arahan daripada pihak berkuasa.
Titah baginda, langkah tersebut bukan sahaja perlu dilaksanakan di kawasan seperti Kampung Iboi sahaja, sebaliknya di seluruh negeri Kedah yang berhampiran bukit atau gunung.
“Selain itu kerajaan negeri juga dikatakan akan melaksanakan sistem amaran awal di beberapa kawasan dalam negeri ini.
“Diharapkan semua pihak selepas ini akan peka dengan amaran dikeluarkan itu sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi bencana,” titah baginda.
Terdahulu, Tengku Sarafudin Badlishah dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda menyampaikan sumbangan kepada 112 keluarga mangsa selain berkenan meluangkan masa bersama sukarelawan membersihkan pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kupang. – KOSMO! ONLINE