PUTRAJAYA – Pembentangan Bajet 2023 yang dijangka pada 9 Disember depan bakal memperkukuhkan momentum trend pemulihan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bajet tersebut bakal memberi penekanan terhadap aspek pembaharuan struktur dan daya tahan ekonomi negara.
“Kerajaan memberi jaminan akan terus memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, perniagaan dan ekonomi sepanjang tahun depan.
“Kerajaan juga yakin landasan pemulihan negara kekal kukuh hasil pelbagai indikator terkini terutama perdagangan borong dan runcit domestik yang terus meningkat,” katanya menerusi kenyataan di sini tadi.
Katanya, perkembangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara juga berjaya merekodkan sebanyak lima peratus pada suku pertama tahun ini atau S1 2022.
“Keadaan itu mencerminkan perkembangan ekonomi yang memberangsangkan serta menunjukkan pertumbuhan KDNK pada suku kedua atau S2 2022 akan terus diperkukuhkan.
“Ekoran perkembangan positif itu, Malaysia bakal mencapai unjuran pertumbuhan antara 5.3 sehingga 6.3 peratus pada tahun ini selari dengan ramalan KDNK oleh pelbagai badan global,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.