fbpx

Aaron-Wooi Yik kempunan lagi ke final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON (kiri) dan Wooi Yik gagal menyaingi kemampuan Fajar Alfian-Rian Ardianto apabila tewas 14-21, 21-19, 10-21 pada aksi separuh akhir Malaysia Masters di Axiata Arena sebentar tadi. GAMBAR - AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berputih mata buat kali kedua berturut-turut untuk beraksi di pentas final di laman sendiri selepas tewas di separuh akhir Malaysia Masters sebentar tadi.

Minggu lalu, Aaron-Wooi Yik ditunjukkan jalan keluar di peringkat separuh akhir Terbuka Malaysia oleh pasangan No.2 dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-23, 9-21.

Kali ini, giliran beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pula mengecewakan impian pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu di Axiata Arena, Bukit Jalil dengan keputusan 21-14, 19-21, 21-10.

Fajar Alfian-Rian Ardianto berjaya meneruskan rekod bersih mereka apabila masih belum tewas kepada mana-mana beregu lelaki negara dalam semua kejohanan sepanjang tahun ini.

“Saya rasa di set ketiga sebelum kita meraih 11 mata, mereka (Fajar Alfian-Rian Ardianto) banyak memberi tekanan. Selain itu, kami berada di kedudukan yang perlu melawan arah angin. Jadi mereka bagi tekanan untuk kita buat kesilapan,” kata Aaron.

AARON (kiri) dan Wooi Yik gagal ke final buat kali kedua berturut-turut selepas tumbang di Terbuka Malaysia dan Malaysia Masters.

Kekalahan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik terus kempunan beraksi di perlawanan akhir sejak mereka meraih pingat perak Kejohanan Badminton Asia di Manila, Filipina pada April lalu.

Ia sekali gus menyaksikan tiada wakil negara akan beraksi di final Malaysia Masters esok selepas beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah juga tumbang di separuh akhir hari ini.

Pearly-Thinaah dikecewakan pasangan No.1 dunia dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan dengan keputusan 10-21, 19-21 untuk menempah pertemuan akhir menentang juara All England dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Final beregu lelaki esok melibatkan pertemuan Fajar Alfian-Rian Ardianto menentang gandingan legenda dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Final perseorangan lelaki pula menyaksikan seorang lagi wakil Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo bertemu pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long, manakala An Se-young (Korea Selatan) menentang Chen Yufei (China) di perlawanan akhir perseorangan wanita. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI