TUMPAT – Seramai 200 penduduk di tujuh buah kampung di sini berdepan detik cemas selepas rumah mereka rosak ditimpa pokok tumbang dalam kejadian ribut semalam.
Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang hingga 8 malam itu melibatkan sebanyak 40 buah rumah di Kampung Alor Tar, Kampung Bendang Kerian, Kampung Kelong, Kampung Tanjung Kuala, Kampung Belukar Berangan dan Pulau Teluk Renjuna di sini.
Salah seorang mangsa, Saodah Ibrahim,70, berkata, kejadian tersebut berlaku secara tiba-tiba apabila bumbung pada bahagian ruang tamu rumahnya di Kampung Alor Tar di sini tercabut diterbangkan ribut.
Menurutnya, ribut kuat diselangi hujan lebat membuatkan dia dan cucu berusia tujuh tahun terpaksa bersembunyi di bahagian dapur.
“Kejadian itu berlaku dengan begitu cepat dan saya hanya mampu berdoa sambil memeluk cucu yang berada dalam keadaan takut.
“Segala persiapan untuk menyambut Aidiladha sudah dibuat esok termasuk tempahan bahagian korban. Jadi, tahun ini saya hanya mengagihkan daging lembu dan membatalkan niat untuk membuat jamuan di rumah,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Seorang lagi mangsa, Mustafar Hamat,63, berkata, kejadian itu menyebabkan bengkel motosikal miliknya turut ranap dihempap pokok besar yang tumbang sekali gus merosakkan lima buah motosikal pelanggan.
“Saya belum sempat memaklumkan keadaan motosikal tersebut kepada pemiliknya. Buat masa ini, saya hanya fokus untuk kerja-kerja membersihkan halaman rumah untuk menyambut Hari Raya Aidiladha esok,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd. Adnan Hassan berkata, dia menerima laporan sebanyak 40 buah rumah rosak dalam kejadian tersebut daripada penghulu kampung.
Katanya, kerja-kerja mengumpulkan maklumat mangsa yang terlibat dengan kejadian itu sedang giat dijalankan dan bantuan akan diberikan dengan segera. – KOSMO! ONLINE