fbpx

16 atlet Johor jadi taruhan tuai emas Komanwel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Hairi (depan tiga dari kanan) bersama para peserta sempena Perasmian Pembukaan Paragon Badminton Cup @Just In Sports Centre, No 1, Jalan Johor Jaya, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 16 atlet Johor menjadi taruhan bagi mengharumkan nama negeri dan negara dengan menyumbang pingat apabila bakal bertanding pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, atlet Johor itu akan mengambil bahagian antaranya bagi acara angkat berat, badminton, berbasikal, olahraga, ping pong dan ragbi.

“Seramai 16 atlet anak Johor yang mewakili Malaysia, Insya-Allah jika diizinkan saya akan bersama-sama ke London untuk melihat sendiri mereka di sana.

“Kita akan beri semangat dan beri peransang kepada mereka, harap mereka beroleh kemenangan dan sumbang pingat untuk negara. Harap mereka terus berlatih dan harumkan nama Johor juga,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Paragon Badminton Cup 2022 di sini hari ini.

Mohd. Hairi berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung ganjaran yang akan diberikan setelah atlet terbabit berjaya meraih pingat.

Mengulas mengenai persiapan menjelang Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang dijadualkan berlangsung pada September depan, beliau berkata, Johor menetapkan sasaran memenangi 40 pingat emas.

“Sukma untuk September nanti seperti yang dimaklumkan oleh Majlis Sukan Negeri Johor, kita sasar 40 pingat emas.

“Kalau lebih itu adalah bonus, kita harapkan mereka lakukan yang terbaik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI