LONDON – Seorang wanita di Britain dihukum penjara lapan bulan selepas dia didapati bersalah menduduki 150 ujian memandu untuk orang lain, lapor portal berita MailOnline semalam.
Indeerjeet Kaur dilaporkan menduduki peperiksaan teori dan praktikal di seluruh Britain termasuk Swansea, Marmarthen, Birmingham dan London dari tahun 2018 hingga 2020.
Wanita berusia 29 tahun itu ditahan apabila kakitangan di pusat ujian memandu mengesyaki dia menyamar sebagai calon ujian.
Mereka melaporkan kes itu kepada Agensi Piawaian Pemandu dan Kenderaan (DVSA), manakala kesnya disiasat oleh pasukan jenayah terancang selatan Wales.
Pegawai penyiasat mendapati Kaur menduduki ujian untuk calon-calon yang tidak boleh bertutur dan membaca dalam bahasa Inggeris dan menerima sejumlah wang tunai sebagai balasan.
Kaur mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan penipuan di Mahkamah Diraja Swansea dan dihukum penjara lapan bulan.
Pemandu-pemandu yang telah memperoleh lesen melalui Kaur akan dibatalkan lesen mereka, kata DVSA.
Polis berkata, Kaur membahayakan nyawa orang lain dengan menduduki ujian untuk pemandu yang tiada kelayakan.
“Keselamatan di jalan raya sentiasa menjadi keutamaan kami. Kami akan menghalang pemandu tidak berkelayakan daripada berada di jalan raya,” kata polis. – Agensi