PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan kes curi identiti yang digunakan untuk mendaftar akaun TNB di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.
TNB dalam kenyataan berkata, pihaknya akan mendapatkan penyelesaian yang terbaik bagi individu tersebut sekiranya terbukti menjadi mangsa penyalahgunaan dokumen miliknya.
“TNB memandang serius perkara ini dan berusaha untuk menambah baik serta memperkemaskan lagi proses pendaftaran akaun di TNB supaya perkara yang sama dapat dielakkan pada masa yang akan datang.
“Orang awam yang pernah kehilangan dokumen identiti mereka dinasihatkan membuat semakan dengan pihak utiliti, bank, insuran atau agensi-agensi perkhidmatan lain bagi memastikan identiti mereka tidak disalah guna untuk pembukaan akaun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah kenyataan tersebut, pelanggan TNB juga boleh menggunakan myTNB app dan portal untuk menyemak akaun-akaun yang didaftar menggunakan nombor kad pengenalan mereka. Sekiranya terdapat akaun yang meragukan tersenarai di myTNB mereka, pengguna dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB.
“Untuk sebarang pertanyaan lain berkaitan akaun, pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454, Facebook TNB Careline atau Twitter@Tenaga_Nasional,” jelas kenyataan tersebut.
Terdahulu, Kosmo! pada 22 Jun lalu melaporkan, seorang tukang kayu di sebuah kilang perabot kini hidup dalam keadaan tertekan apabila mendakwa identitinya telah dicuri dan disalahguna pihak tidak bertanggungjawab sejak lima tahun lalu.
Disebabkan itu, mangsa, Ang Siang Ping, 27, dikatakan telah menyebabkan kerugian kepada seorang pemilik rumah di sini kerana terpaksa menanggung bil elektrik yang tinggi iaitu sebanyak RM230,611 sepanjang tempoh berkenaan hingga Mac tahun lalu.
Pada masa sama, Siang Ping juga telah menerima saman mahkamah untuk satu kes sivil dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM234,747.50 berhubung aktiviti perlombongan ‘bitcoin’ di Butterworth sekitar November tahun lalu. – KOSMO! ONLINE