fbpx

Sri Lanka muflis minta Russia beri hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandu beca beratur di sepanjang jalan untuk membeli petrol dari stesen minyak di Colombo pada 3 Julai lalu. - AFP

COLOMBO – Sri Lanka diisytihar muflis setelah dilanda krisis kewangan terburuk dalam tempoh beberapa dekad yang menyaksikan berjuta-juta penduduk sukar membeli makanan, ubat dan bahan api, lapor stesen penyia­ran CNN kelmarin.

Situasi kebankrapan itu di­nyatakan oleh Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe. 

Dalam ucapan di Parlimen, beliau berkata, rundingan antara kerajaan dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk memulihkan ekonomi Sri Lanka menemui jalan sukar.

Ini katanya, kerana negara Asia Selatan yang mempunyai 22 juta penduduk itu menyertai rundingan dengan IMF sebagai sebuah negara muflis, bukannya negara membangun.

“Kita mengambil bahagian dalam rundingan ini sebagai negara muflis. Oleh itu, kita berdepan situasi yang lebih sukar dan rumit berbanding run­dingan sebelum ini.

“Disebabkan keadaan negara kita yang muflis, kita perlu mengemukakan pelan pembayaran hutang kepada IMF secara berasingan. 

“Hanya apabila pihak mereka berpuas hati dengan rancangan pemulihan Colombo, barulah kita boleh mencapai persetujuan di peringkat kakitangan. Ini bukan proses mudah,” kata Wickremesinghe di Parlimen.

Sri Lanka berdepan krisis kewangan terburuk sejak tujuh dekad lalu selepas rizab pertukaran asingnya menjunam ke paras terendah selain kehabisan mata wang dolar untuk membayar import utama termasuk makanan, ubat dan bahan api.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Presiden Gotabaya Rajapaksa memuat naik kenyataan di laman Twitter bahawa beliau telah meminta pertolongan daripada Presiden Russia, Vladimir Putin untuk tawaran kredit bagi mengimport bahan api.

Dalam pada itu, di sebila­ngan bandar termasuk ibu kota dan hab komersial Sri Lanka, Colombo,­ beratus-ratus orang beratur selama berjam-jam untuk membeli petrol. Mereka kadangkala bertempur dengan polis dan tentera semasa menunggu.

Sekolah-sekolah pula ditutup dan bahan api dihadkan kepada perkhidmatan penting sahaja. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI