fbpx

Siar semula kredibiliti saksi, Syed Saddiq minta maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon maaf di Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana telah menyiarkan semula (repost) satu hantaran di laman media sosialnya berhubung perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang sedang dihadapi.

Permohonan maaf itu dibuat selepas Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Azhar Abdul Hamid memberi amaran terakhir kepada Ahli Parlimen Muar itu.

“My humblest apology (saya dengan rendah diri memohon maaf),” kata Syed Saddiq.

Terdahulu, Azhar membuat teguran itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa satu laporan polis telah dibuat.

Laporan polis itu adalah berhubung siaran semula satu hantaran yang dibuat oleh rakannya, Ahmad Zarul Afiq berkenaan kredibiliti saksi pendakwaan ke-13, Rafiq Hakim Razali.

Dalam laporan polis yang dibuat pada hari ini menyatakan, komen Syed Saddiq tersebut adalah bersifat subjudis kerana sebelum ini hakim lain telah menegur ahli politik itu dan pasukan peguamnya agar tidak membuat sebarang komen tentang perbicaraan yang sedang berlangsung.

Wan Shaharuddin berkata perkara sama telah beberapa kali berlaku dan Syed Saddiq sebelum ini telah diberi amaran oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

“Bagaimanapun, ia masih berlaku dan beliau masih memberikan komen tentang prosiding dan kredibiliti saksi ini yang saya percaya adalah subjudis.

“Terpulang kepada mahkamah untuk membuat penemuan fakta mengenai kredibiliti saksi,” kata Wan Sharuddin.

Peguam yang mewakili Syed Saddiq, Gobind Singh Deo yang kelihatan terkejut ketika isu ini dibangkitkan memberitahu mahkamah anak guamnya telah memadam hantaran itu.

Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, Azhar memberikan amaran terakhir kepada tertuduh agar perkara sama tidak berulang di masa akan datang.

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan kes disambung pada 18 Julai ini.

Pada 24 Jun lalu, laporan polis itu dibuat seorang pegawai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan satu video yang dimuat naik di YouTube mendakwa, pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Muar itu bermotifkan politik.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI