fbpx

Saya memang kasar, tapi bukan ‘tomboy’ – Intan Najuwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INTAN NAJUWA

PETALING JAYA – Pelakon kecil molek Intan Najuwa menafikan dakwaan segelintir pihak yang melabelkan dirinya sebagai tomboy, ekoran imejnya yang ada kalanya dilihat sedikit kasar dan ganas.

Biarpun sering dikecam kerana berpakai­an seksi, Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abd. Wahid me­ngakui keperibadiannya sejak kecil memang sedikit kasar, tetapi bukan bermakna dirinya tomboy seperti yang diperkatakan netizen.

“Mungkin lakonan saya jadi wanita kasar sebelum ini dilihat tidak ubah seperti seorang tomboy di mata mereka. Saya tak kisah dengan pendapat itu semua, cuma apa yang saya mahu tegaskan, saya wanita asli dan bukannya tomboy,” katanya.

Intan berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar secara virtual bagi drama terbarunya, Jodohku Babysitter arahan sutradara Hadith Omar.

Ditanya mengenai cabaran membawakan watak perem­puan ala-ala tomboy dan menggalas tanggungjawab sebagai babysitter, Intan berkata, cabaran besar yang perlu dilaluinya adalah berperwatakan lelaki dan bengis.

“Dalam drama ini, saya diminta untuk membawakan watak seorang tomboy sebenar yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak atau babysitter.

“Paling sukar, saya kena sentiasa berperwatakan bengis selain garang serta perlu berpakaian seperti tomboy. Ini antara yang sukar untuk saya lakonkan.

“Satu lagi cabaran apabila banyak babak yang memerlukan saya untuk membawa motor.

“Bayangkan dengan fizikal saya yang kecil dan rendah ini, sudah berapa kali terjatuh ­disebabkan kaki tidak berapa nak sampai,” ujarnya.

Sekadar info, Jodohku Babysitter mula disiarkan di slot megadrama saluran Astro Ria bermula kelmarin dan turut dibintangi Aliff Aziz, Yuna Rahim, Ellyas Abdullah dan Isaac Iman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI