KUALA TERENGGANU – Empat keluarga terpaksa menyambut Aidiladha tahun ini dalam kedukaan apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Panji di sini hari ini.
Kebakaran pada pukul 11.30 pagi itu menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang selain keseluruhan kerugian dianggarkan lebih puluhan ribu ringgit.
Salah seorang mangsa Sulaini Said, 55, berkata, dia bergegas pulang sebaik dihubungi isterinya, Johana Mohammad, 49, yang memaklumkan tentang kebakaran terbabit.
“Sewaktu kejadian saya berada di Bukit Payung, Marang. Sebaik tiba, tidak dapat digambarkan kesedihan melihat rumah sedang marak terbakar.
“Tidak tahu nasib kami sekeluarga, di mana hendak menumpang teduh menjelang Aidiladha yang bakal tiba lusa (Ahad ini),” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di Kampung Pinji di sini hari ini.
Sulaini berkata, tambah menyedihkan mereka, barangan kemas bernilai RM6,000 dan wang simpanan RM2,000 turut hangus dalam kebakaran itu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kebakaran itu pada pukul 11.34 pagi.
Menurut beliau, setibanya di lokasi, tiga buah rumah sudah musnah 100 peratus manakala sebuah rumah lagi hangus 25 peratus pada bahagian dapur. – KOSMO! ONLINE