fbpx

Polis terima 17 laporan jemaah haji terkandas di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lebih 380 jemaah haji dilaporkan terkandas di KLIA malam tadi.

SEPANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima beberapa laporan daripada bakal-bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam tadi.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd. Rahman berkata, setakat ini sebanyak 17 laporan polis telah diterima pihaknya dan beliau difahamkan masih ada laporan polis yang akan dibuat oleh mangsa terkandas lain berhubung kejadian tersebut.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA ada menerima beberapa laporan berhubung kejadian itu namun tidak semua membuat laporan di sini, ada juga mangsa yang membuat laporan di tempat tinggal mereka seperti di Kajang, Semenyih, Bangi dan lain-lain.

“Setakat ini pihak polis telah mengambil keterangan daripada seorang wakil syarikat pelancongan yang terlibat namun tiada sebarang tangkapan yang dibuat dan individu tersebut telah dibenarkan pulang selepas selesai proses mendapatkan keterangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, dianggarkan terdapat kira-kira 200 atau lebih mangsa yang terjejas akibat kejadian itu dan siasatan kes sedang dijalankan pihaknya.

“Siasatan berhubung kejadian telah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda,” tegas beliau.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan hasrat lebih 380 jemaah haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima di Tanah Suci tidak kesampaian apabila mereka terkandas di KLIA malam tadi berikutan dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI