PONTIAN – Seorang penceramah motivasi tidak menyangka hobinya sebagai pengumpul pisau melapah daging telah memberi sumber pendapatan baharu kepada keluarganya.
Abd. Gahaffar Awang, 55, berkata, semuanya bermula apabila dia membeli sebilah pisau melapah daging secara online dari seorang tukang di Perak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lalu.
Katanya, pisau itu dibeli pada harga RM500 dan dimuat naik di media sosial sebelum ada pihak berminat untuk membelinya.
“Bermula dari situ saya memulakan langkah ke hadapan dengan menambah lagi jumlah pisau.
“Ada kalanya saya hanya membeli bilah tanpa sarung yang kemudian ditempah dari pembuat di Ulu Tiram, Johor Bahru berdasarkan kepada reka bentuk dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Jalan Penghulu Tandang, Kampung Pulai Sebatang, di sini baru-baru ini.
Menurut Abd. Gahaffar, selepas berhenti kerja pada tahun 2006, dia telah melakukan pelbagai pekerjaan lain bagi mencari pendapatan sebelum menyertai pasukan motivasi pada tahun 2010.
“Agak malang apabila PKP dilaksanakan pada tahun 2019. Ketika itu, tiada sebarang program dapat dilakukan yang menyebabkan saya dan rakan-rakan terpaksa mencari peluang pekerjaan yang lain,” jelasnya.
Tambahnya, selain pisau melapah, dia juga membeli beberapa peralatan lain seperti parang untuk tujuan penyembelihan dan kapak yang digunakan bagi memotong tulang.
“Barangan ini saya peroleh dari pembuat di Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah dan Johor dengan pembelian secara dalam talian,” ujar anak kelahiran Melaka ini.
Katanya, dia menjual semula barangan tersebut melalui media sosial iaitu Facebook Parang Borneo dan Parang Nusantara dan mampu menjual sebanyak 5 hingga 6 jenis barang setiap bulan.
“Daripada enam bilah pada awalnya, kini saya mempunyai kira-kira 150 hingga 200 pelbagai jenis barangan seperti pisau, kapak, parang yang berharga antara RM100 hingga RM800 sebilah,” ujar bekas pelajar Institut Pertanian Serdang ( IPS ) Selangor itu.