IPOH – Seorang penganggur ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kes pembunuhan abang dan kakak iparnya yang mayat mereka ditemui di sebuah rumah di Taman Bercham Aman, Bercham di sini semalam.
Suspek berusia 61 tahun itu direman bermula hari ini hingga Khamis depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Jesseca Daimis di Mahkamah Majistret Ipoh di sini hari ini.
Terdahulu, suspek yang memakai baju berwarna kelabu tiba di pekarangan mahkamah menaiki trak polis pada pukul 8.50 pagi dengan diiringi kawalan polis pengiring.
Terdahulu, mayat pasangan suami isteri berusia 64 dan 59 tahun itu dijumpai dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kecederaan parah di kepala di ruang tamu rumah di Taman Bercham Aman, Bercham di sini semalam.
Suspek yang melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Saga milik kakak iparnya itu berjaya diberkas polis dalam tempoh 11 jam di sebuah hotel di Genting Highlands pada pukul 7.45 malam tadi. – KOSMO! ONLINE