JOHOR BAHRU – Pemandu lori yang terlibat dalam kejadian merempuh 11 buah kenderaan lain di Tambak, Johor semalam mempunyai 33 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan trafik.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki warga tempatan berusia 34 tahun itu juga mempunyai enam saman yang masih belum dijelaskan.
Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati keputusan negatif penyalahgunaan sebarang bahan terlarang.
“Suspek mempunyai 33 rekod saman lampau melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas selain enam saman lain yang masih belum dijelaskan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Pemandu tersebut kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dengan perintah Reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, Melody Woon Sze Mun.
Suspek yang memakai baju t-shirt berwarna hitam dan berseluar jeans biru itu tiba di pekarangan Mahkamah Johor Bahru dalam keadaan bergari kira-kira pukul 10 pagi.
Semalam, Kosmo! melaporkan sebuah lori bermuatan habuk kayu yang dipercayai mengalami masalah kerosakan teknikal merempuh 11 buah kenderaan lain di sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura itu.
Kemalangan itu melibatkan 12 buah kenderaan iaitu sebuah lori, sebuah bas, sebuah van dan sembilan buah kereta dengan enam daripadanya merupakan kenderaan berdaftar di Malaysia dan enam yang lain bernombor pendaftaran Singapura. -KOSMO! ONLINE